Friday, November 18, 2011

Banyak kelebihan, keistimewaan dikurniakan pada penghulu segala hari

Oleh Masmawi Abdullah


MUTAKHIR ini ramai di kalangan kita yang alpa dengan kelebihan dan keberkatan Jumaat. Ada sebahagian masjid yang menjadi tumpuan umat Islam mendirikan fardu Jumaat kelihatan lengang, meskipun waktu solat sudah hampir tiba.

Hanya kira-kira 10 minit sebelum azan berkumandang, orang mula datang berduyun-duyun ke masjid. Itupun ramai hanya berlegar-legar di persekitaran masjid, tidak berlumba-lumba untuk mencari saf hadapan, membaca al-Quran, beriktikaf atau mencari keberkatan datang awal.

Bagi sesetengah wanita yang bekerja pula, Jumaat (waktu rehat) selalunya digunakan untuk membeli belah, bukannya mengadakan kuliah atau mengikuti khutbah di televisyen.

Fenomena ini menunjukkan kita sudah semakin lupa dengan kelebihan dan keberkatan yang ada pada Jumaat. Kita mungkin tidak sedar bahawa Jumaat adalah penghulu segala hari, yang mempunyai banyak kelebihan antaranya:
  • Pada Jumaat, Allah menjadikan Nabi Adam (manusia pertama).
  • Jumaat adalah hari paling mustajab bagi mukmin yang berdoa. Allah akan memakbulkan doanya, selama ia tidak meminta perkara yang haram.
  • Pada Jumaat akan berlakunya kiamat.
  • Jumaat adalah besar disisi Allah bahkan lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW membicarakan mengenai Jumaat dan Baginda berkata: Padanya ada suatu saat yang tidak ditemui oleh hamba (Allah) yang Muslim dengan ia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dimohonkan akan diberi kepadanya (ia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkat).” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis itu menerangkan adanya saat yang paling mustajab pada hari Jumaat, di mana segala permohonan akan dimakbulkan dengan izin Allah. Malah, ulama berselisih pendapat mengenai bilakah saat yang dimaksudkan itu.

Ada berpendapat sesudah terbit matahari syuruk dan ada yang mengatakan sesudah gelincir matahari (zuhur atau Jumaat). Malah ada yang mengatakan sesudah waktu Asar dan selain waktu itu.
Bagaimanapun ada hadis sahih mengatakan saat mustajab itu bermula dari khatib berada di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat. Daripada Abu Al-Asya’ari, ia berkata:
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya saat mustajab itu adalah antara imam duduk di atas mimbar, sampai ia salam daripada solat.” – (Hadis riwayat Muslim)
Jelas menunjukkan bahawa ketika khatib berada di atas mimbar dan berkhutbah adalah antara waktu yang penuh berkat. Kerana ketika itu segala hidayah Allah disalurkan melalui mimbar. Ilmu dan nasihat agama disampaikan sebagai panduan untuk sekalian.

Khatib sering mengingatkan kita supaya bertakwa kepada Allah, mentaati titah perintahnya, berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Khutbah yang baik dapat memupuk kesedaran dan ketaatan kepada Allah, memberi motivasi dan pedoman berfaedah ke arah membina kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Justeru, kita dituntut datang awal ke masjid, membersihkan rohani dan menyiapkan diri untuk mendengar khutbah. Kita digalakkan berada di saf hadapan, kerana lebih hampir dengan mimbar yang menjadi saluran hidayah Allah.

Khatib pula perlu lebih bersedia sebelum berkhutbah dengan membuat semakan terhadap teks yang disediakan. Khatib juga perlu membuat rujukan dan pembacaan tambahan supaya khutbah yang disampaikan benar-benar menarik, berkesan dan bersesuaian dengan tuntutan zaman.

Selepas selesai solat Jumaat, bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki dan menyelesaikan urusan hidup. Bukannya dengan duduk di masjid berjam-jam, sehingga kadangkala kereta yang diletakkan di tengah-tengah jalan (kerana lewat datang) di biarkan melintang di tengah jalan sehingga menghalang lalu lintas. Ini tentu menyusahkan orang ramai.

Oleh itu, datanglah seberapa awal ke masjid untuk memenuhi saf hadapan dan segeralah pulang apabila solat atau doa selesai agar segala urusan dapat dibereskan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang beriman, apabila kamu diseru untuk mengerjakan fardu Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingati Allah dan tinggalkan urusan jual beli.” – (Surah al-Jum’ah, ayat 9)

P/S : Sharing is Caring ^__^

No comments:

Post a Comment