Thursday, May 31, 2012

Tekanan Darah Tinggi semasa Hamil



PENYAKIT darah tinggi berpotensi terjadi kepada setiap wanita hamil dengan peratusan antara 10 hingga 15 peratus, di mana ia boleh dikategorikan sebagai agak tinggi.

Keadaan ini berlaku pada wanita tidak kira sama ada di negara sedang membangun mahupun negara yang maju daripada aspek perubatannya. Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. S. Silvam berkata, tekanan darah tinggi di kalangan wanita hamil biasanya berlaku ketika kandungan berusia 20 minggu ke atas.

Tetapi, sekiranya ia berlaku lebih awal dari tempoh itu, pemeriksaan terhadap pesakit perlu dilakukan untuk melihat sama ada terdapat penyakit lain yang berkaitan buah pinggang atau sejarah perubatan keluarga yang sememangnya ada menghidap darah tinggi.

Menurutnya, darah tinggi terjadi kepada ibu mengandung kerana perubahan yang berlaku pada proses perkembangan uri. “Perkembangan uri sangat penting semasa proses kehamilan berlangsung. Di dalam uri terdapat banyak saluran darah. Tekanan darah berlaku apabila salur darah dalam uri (spiral arteri) tidak berkembang seperti sepatutnya (mengecut) dan menyebabkan darah tidak mengalir dengan sempurna” jelasnya ketika ditemui di kliniknya, di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.


Tekanan darah yang normal untuk orang yang tidak mengandung ialah 140 ke 90, tetapi bagi ibu mengandung tekanan yang normal ialah 110 ke 70. “Kalau lebih daripada 110 ia dikategorikan sebagai tekanan darah tinggi, bagaimanapun peratusan kenaikan daripada tahap normal hingga ke tahap tekanan itu akan dianalisis oleh doktor.“Sebab itu penting bagi seorang wanita hamil untuk mendapatkan rawatan kerap daripada doktor mereka,” jelas Dr. Silvam yang juga berkepakaran dalam bidang ginekologi onkologi.

Antara komplikasi yang terpaksa dihadapi oleh wanita hamil ialah mengeluarkan bayi mereka sebelum waktu matang.“Seperti yang diketahui jarang jangka hayat bayi dapat diteruskan sekiranya kandungan baru berusia 20 minggu. “Dalam kes wanita hamil yang menghidap darah tinggi, kita perlu sentiasa berkompromi antara kesihatan ibu dan nyawa bayi. “Setiap bayi yang lahir pramatang akan menghadapi banyak masalah.

Katakan bayi terpaksa dilahirkan pada 28 minggu, ia masih ada masalah sebab dia perlukan pengudaraan yang sempurna, perlu dimasukkan ke wad neo natal, penjagaan rapi dengan kos yang amat tinggi. “Risiko lain, bayi juga boleh meninggal dunia kalau dikeluarkan terlalu awal,” jelas beliau lagi.

Sekiranya tekanan darah tinggi boleh dikawal, maka doktor akan menasihatkan ibu berkenaan supaya meneruskan kandungan dengan pengawasan rapi. Menurut Dr. Silvam, kawalan dibuat sendiri (tanpa ubat) atau doktor akan mulakan ubat, iaitu pengambilan ubat darah tinggi. Ibu hamil yang menghidap darah tinggi tidak perlu memilih makanan mereka kerana darah tinggi ini lain daripada darah tinggi yang biasanya dihidapi oleh orang yang tidak mengandung.

Pendek kata ia tidak ada kena mengena dengan darah tinggi yang disebabkan oleh makanan seperti pengambilan garam berlebihan. “Wanita hamil mengalami darah tinggi adalah disebabkan kehamilannya, uri dan bayi itu sendiri. Jadi sebaik sahaja bayi dilahirkan darah tinggi pada ibu mengandung itu akan turun,” ujar beliau.

Peratusan untuk penyakit darah tinggi pada wanita hamil akan hilang selepas bersalin ialah sebanyak hampir 100 peratus, kecuali ada faktor-faktor lain seperti usia si ibu yang sudah mencecah 40 tahun.Terdapat kes di mana selepas bersalin tekanan darah tinggi tersebut tidak hilang, sebab mungkin secara semula jadinya darah tinggi itu sudah memang ada dalam dirinya kerana faktor umur atau juga faktor-faktor lain dan bukan sebab mengandung. “Ini semua mesti diperiksa secara mendalam, doktor tidak boleh buat sebarang kesimpulan.

Sebagai contoh, seorang wanita muda berusia 20 tahun yang mengandung dan dikesan mempunyai darah tinggi. Kita, menjangkakan darah tinggi akan turun selepas bersalin jika dia tidak ada sebarang masalah lain seperti buah pinggang atau sebagainya,” hurai beliau.

Ketika ditanya tentang kaedah bersalin paling selamat untuk wanita yang menghidap darah tinggi, Dr. Silvam menjelaskan ia bergantung kepada faktor kematangan bayi dalam kandungan (selama mana kandungan tersebut).“Seboleh-bolehnya kita akan bagi ibu bersalin bila cukup tempoh, sebab kurang risiko untuk bayi.

Bukan saja takut bayi meninggal awal, tapi juga masalah komplikasi lain.“Namun, jika tahap darah tinggi ibu itu terlalu tinggi, mungkin doktor akan menyarankan bersalin awal dengan cara pembedahan Ceasarean kerana apabila darah terlalu tinggi, bahayanya adalah pada ibu. “Ibu boleh mendapat sawan, kadang-kadang boleh terjadi pendarahan di otak dan seterusnya terjadi strok,” jelas beliau.


Dr. Silvam berkata, walaupun strok selalu dialami oleh orang tua, kesan akhir bagi penghidap darah tinggi yang serius adalah sama, tidak kira bagi penghidap darah tinggi biasa mahupun ibu hamil yang menghidap darah tinggi. “Walaupun punca darah tinggi semasa mengandung berlainan daripada kes darah tinggi biasa, namun perlu diingatkan kesan akhirnya tetap sama.

Apabila salur darah pecah, serangan strok terjadi dan komplikasinya sama saja, jadi sebab itu kita kena mengawal darah tinggi ini untuk ibu melalui pengambilan ubat,” kata Dr. Silvam. 


Semasa tekanan darah terlalu tinggi, doktor akan melihat dua keadaan. Pertama, sama ada tekanan darah tinggi disertai dengan kencing kotor (protein dalam air kencing tinggi), di mana wanita tersebut mungkin akan mengalami ‘eminent eclampsia’ (hampir-hampir mengalami sawan).Dalam keadaan ini, doktor akan menyarankan wanita tersebut dimasukkan ke wad untuk pemerhatian.

Jika keadaan membahayakan nyawa ibu, maka dia akan dipaksa bersalin dan jika tempoh kandungan baru 20 minggu kemungkinan besar bayi tidak akan selamat. Bagaimanapun, jika kandungan sudah berusia 28 minggu atau lebih bayi boleh dirawat secara intensif.Kedua, jika ibu mengalami darah tinggi, tapi tiada kencing kotor, doktor akan memberi pemerhatian rapi dengan pemeriksaan doktor setiap minggu.

Apabila doktor membuat analisis, darah tingginya boleh dikawal dan kencingnya tidak kotor, maka kandungannya boleh diteruskan hingga cukup matang iaitu minggu 32 hingga 34.“Dalam keadaan ibu hamil dengan tekanan darah tinggi ini mesti selalu kompromi, iaitu antara kesihatan ibu dan kematangan bayi.“Paling diutamakan ialah nyawa ibu, sebab selain strok terdapat juga kes di mana ibu boleh meninggal dunia kerana uri pecah (placenta rupture), berdarah akibat tekanan yang terlalu tinggi,” ujar beliau.

 
Susah untuk mengelakkan seorang ibu hamil daripada terkena darah tinggi, ia sebenarnya bergantung kepada faktor-x yang ada pada ibu dan ayah,masalah darah tinggi ini berlaku bukan saja di negara-negara membangun, ia juga masalah penting yang berlaku di negara yang sudah membangun, sebab tiada siapa yang tahu puncanya. Bagaimanapun, ibu yang mempunyai darah tinggi adalah dinasihatkan supaya bersalin di hospital dan pastikan ada doktor pakar yang akan membuat rawatan susulan dan rawatan sokongan.


perolehan sumber



No comments:

Post a Comment